Friday, January 13, 2012


Antara Tanggungjawab dan Amanah Mahasiswa



"Tangungjawab yang ada lebih banyak dari masa yang ada" Ungkapan yang diucapkan As-Syahid Imam Hasan Al-Banna di atas jelas menggambarkan begitu beratnya amanah dan tangungjawab yang terpikul dibahu kita dalam konteks mahasiswa. Antara tangungjawab dan amanah.

Dua konatasi yang tidak jauh perbezaan serta tidak terlihat apakah sebenarnya kontradaksi antara keduanya. Mahasiswa adalah golongan yang paling bernilai kepada negara. Golongan yang begitu penting kepada agama dan masyarakat.
Mahasiswa adalah begitu sinonim dengan pemuda. Pemuda itu gagah tenaganya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu intelek pemikiranya, teguh idealismanya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu kuat tenaganya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu kuat keinginnannya begitu juga mahasiswa. Pemuda itu jelas matlamatnya begitu juga mahasiswa. Jelas disini begitu pentingnya golongan mahasiswa.
"Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk" Al-Kahfi:13
Impian dan cita-cita akan terlaksana dengan wujudnya keyakinan yang kuat, keikhlasan, semangat yang sentiasa membara bersamanya serta sedia berkorban dan berusaha untuk merealisasikanya.
As-Syahid Imam Hasan Al-Banna menyatakan terdapat empat asas penting kepda mahasiswa iaitu:
a)     Keimanan
b)     Keikhlasan
c)     Semangat
d)     Usaha
Asas keimanan ialah hati yang bersih. Asas keikhlasan ialah jiwa yang suci. Asas semangatialah keinginan yang kuat. Asas usaha ialah keazaman yang membara. Semua sifat ini ada sifat yang wajib ada pada mahasiswa. Atas dasar ini dapat dilihat betapa peri pentingnya pemuda sebagai golongang yang tinggi idealisma dan aktivisma berperanan penting dalam perubahan kepada masyarakat khususnya dalam konteks universiti yang tercinta ini.
Kecintaan mahasiswa kepada Ilmu
Antara amanah dan tanggungjawab. Dengan hasrat memajukan agama dan bangsa. Dalam kita melaung-laungkan kemajuan dari sudut fizikal, material dan yang penting yakni akal budi.
Rupanya kita ini jauh benar ketinggalannya. Meskipun pesatnya dibina universiti, kolej universiti dan kolej-kolej. Namun masyarakat mahasiswa gagal membudayakan kecintaan kepada ilmu. Jelas dalam wilayah autoriti kita sejauh mana mahasiswa membudayakan amalan membaca sebagai sahabat akrab.
Seorang sarjana futuris ,Tofler (powershift -1991) turut mengakui bahawa penguasaan ilmu dan maklumat adalah satu-satunya senjata dekad ini yang akan mendominasikan penguasaan mana – mana masyarakat bertamadun. Keupayaan mengekplositasi dan penguasaan maklumat akan menentukan keunggulan dalam menguasai kuasa politik, ekonomi, kewangan, militari dan segenap bidang dalam kehidupan manusia sejagat.
Penguasaan ilmu dan maklumat menjadi lebih penting kepada masyarakat amnya dan mahasiswa khususnya ketika era yang dicengkam dengan arus sejagat, atau apa yang disebut globalisasi.
Dalam arus globalisasi ini, kapitalisma mencengkam dunia. Kita dapat melihat bagaimana yang kaya akan menguasai golongan miskin. Bahkan yang lebih kaya akan membaham yang kaya. Yang laju akan meninggalkan yang perlahan. Yang lebih laju akan lantas merempuh apa sahaja yang di hadapan.
Jelas di sini mahasiswa perlu sedar. Mahasiswa perlu mempersiapkan diri dengan kantungan ilmu yang penuh di dada. Mahasiswa perlu bangun tidak lagi alpa. Sangat sedih apabila semangat juang makin pudar dalam jiwa mahasiswa. Tidak kedengaran nada-nada pengharapan kepada mahasiswa daripada masyarakat.
Andai dahulunya mahasiswa ini adalah agen perubah masyarakat kini tidak lagi. Masyarakat sangat hampa pada kita. Kedangkalan dan kegagalan kita dalam menguasai ilmu sangat menyedihkan. Universiti sebagai pusat kecermerlangan ilmu tidak lagi dapat dimanfaatkan oleh mahasiswa.
Keutamaan Mahasiswa
Umat diluar sana sedang diserang musuh, umat disana sedang dilanggar musuh. Mengapa kita mahasiswa masih leka dan alpa dengan pesona kelalaian? Akademi fantasia, Malaysian idol dan beberapa program lain yang sejelek dengannya menjadi kegilaan muda-mudi masa kini.
Terjebak dengan kancah kegilaan ini juga adalah mahasiswa yang sering mendabik dada sebagai golongan yang kulit tanpa isi atau kulit berisi hampas. Tanpa kita sedar bahawa gejala hendonisme ini tidak menyuburkan intelektualisma tetapi terus menyuburkan gejala kebodohan.
Mahukah nilai begini terus dilabelkan pada mahasiswa? Hanya mahasiswa sendiri yang akan dapat mengubah persepsi yang negatif ini. Ayuh mahasiswa, bangun dan bersemangatlah! Mari kita kembalikan budaya kecintaan kepada ilmu.
Mari kita sepadukan kecintaan total dan keutamaan yang utama kepada penguasaan ilmu. Seiring hasrat membangunkan negara. Dari segi material dan pembangunan insan. Hanya ilmu adalah senjata yang paling ampuh untuk membela agama, bangsa dan negara Malaysia yang tercinta ini. Jangan dibiarkan negara ini dijajah sekali lagi. Atas dasar kedaifan kita dalam penguasaan ilmu.
Keutamaan penguasaan ilmu tidak dapat dinafikan peri pentingnya. Acapkali kita mendengar betapa pentingnya ilmu. Dengan keilmuan kita dapat merubah segala. Sehingganya surah pertama juga adalah bermula dengan "Bacalah".
Angin perubahan
Marilah kita berubah. Kita perlu berubah untuk merubah. Jangan lagi kita membiarkan nama-nama kita terus diconteng-conteng, dicarik-carik lagi. Di samping perjuangan terus di semarakkan.
Keutamaan kecintaan ilmu jangan dikesampingan. Dengan pengusaan ilmu, kita akan lebih dinamik, progresif dan proaktif serta responsif dengan keadaan semasa. Jangan ditunggu esok.
Bermulalah hari ini. Umat di luar sana menangis melihat kecurangan kita membelakangkan tanggungjawab kita sebagai mahasiswa dan kealpaan dan kelalaian kita menjalankan amanah sebagai hamba Tuhan.

Sudahkah Aku Berterima Kasih ?


Usai solat sunat subuh, sementara menunggu untuk solat berjemaah,aku teringat hadis daripada Nabi Muhammad saw, tentang kelebihan solat sunat sebelum subuh.
Subhanallah, baiknya Allah swt kepada kita, ganjaran yang diberi sangat banyak, tidak ternilai dengan dunia ini walau sedikit pun. Dengan sedikit amalan yang kita buat, ganjarannya berlipat kali ganda.
Sudahkah Aku Berterima Kasih ?
Pernahkah kita terfikir, layakkah kita untuk menerima ganjaran daripada ALLAH swt, sedangkan segala apa yang kita miliki hari ini, bukankah dari ALLAH swt ?. Pakaian, makan, tempat tinggal, harta, wang ringgit, keselesaan, kecerdikan diri, kesihatan dan banyak lagi nikmat yang kadang-kadang kita sendiri pun terlupa. Bukankah status kita sebagai hamba ALLAH swt, sepatutnya kita membalas segala apa yang ALLAH swt berikan kepada kita dengan melakukan ketaatan berterusan kepadanya, tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran walaupun secebis.
Maha pemurahnya Allah swt, Maha Penyayangnya Allah swt, Allah swt tetap memberikan ganjaran kepada setiap amalan kita, walaupun sepatutnya, kita tidak layak sedikit pun, untuk menerima apa-apa ganjaran daripada Allah swt.
Sudahkah Aku Berterima Kasih ?

Kadang-kadang diri terleka, hanyut dengan arus dunia, cabaran dan dugaan yang datang silih berganti, mencabar kekuatan diri. Satu ketika, solat diringan-ringankan, maksiat dilakukan tanpa rasa bersalah, perkara mungkar dibiarkan sahaja berlaku, tanpa ada rasa benci sedikit pun, aku terlupa status sebenar sebagai seorang hamba kepada yang Maha Esa. Ampunkan aku, Ya Allah, atas segala kekhilafan diriku ini.
Aku juga selalu terlupa, segala amalan yang aku lakukan ini, tidak pernah sedikit pun akan dapat membalas segala nikmat yang engkau berikan, hatta kurniaan sepasang mata ini pun, tidak dapat dibalas oleh hambamu ini, Ya Allah.
Ya Allah, walaupun dosaku bergunung-gunung banyaknya, tidak terbilang kiranya, dan aku sering sahaja melakukan dosa, tetapi engkau, Ya Allah, masih sudi nak mengampunkan dosa hambamu ini, yang memang sering melupakanmu.

Maka, sudahkah aku berterima kasih kepadamu, Ya Allah, atas segala yang engkau berikan. Pasti belum cukup, Ya Allah, tapi aku berazam akan berusaha sebaik mungkin, untuk terus berada dalam ketaatan kepadamu, agar aku diterima menjadi hambamu, yang sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepadamu.

Biodata Penulis

Muhammad Zulhilmi Bin Zainal Abidin merupakan seorang mahasiswa tahun ketiga di Universiti Malaya di dalam bidang Sains Kimia.

Larangan Mengejek & Mempersenda

Dalam kehidupan seharian,kita dikelilingi oleh teman-teman yang tidak semuanya faham dan mengamalkan tunutan ISLAM. 
   Begitu sadis telinga tatkala mendengar segelintir anak-anak muda ISLAM begitu mudah memanggil rakan-rakan mereka dengan nama haiwan, tidak kurang juga dengan perkataan-perkataan yang berbaur lucah dan kesat. Ada juga diantara perbuatan mereka yang memanggil haiwan dengan nama rakan mereka. MasyaALLAH!  Lebih teruk lagi, ada juga yang menunjukkan simbol-simbol atau isyarat lucah begitu umum, tanpa rasa segan silu dengan makhluk ALLAH yang lain berada disekitarnya. Harus diingat kembali kita tinggal dimuka bumi ini bukan hanya manusia sahaja, JIN, SYAITAN, HAIWAN, TUMBUHAN dan INGAT kedua MALAIKAT RAQIB dan MALAIKAT 'ATID yang mencatat kebaikkan dan keburukan kita.
   Sebagai peringatan buat diri ini dan semua, kita singkap kembali LARANGAN ALLAH mengenai hal ini yang telah disebutkan dalam AL QURAN yang maksudnya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim." (Surah Al Hujurat, Ayat 11)
   Jelas dan terang larangan ALLAH dalam ayat ini yang melarang umat-NYA untuk merendah-rendahkan sesama mereka tidak kira lelaki atau perempuan. Maksud merendah-rendahkan ialah memperkecilkan rakan kita sehingga dia berasa tersinggung ataupun tidak dengan perbuatan kita itu. Lihat pada ayat
'...'Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain;...'
   Berbalik kepada masalah tadi, bagaimana seorang  rakan ini memanggil rakannya yang lain dengan gelaran haiwan, contohnya yang selalu dari mulut anak muda masa kini, 'BABI' ataupun 'ANJING'. Situasi kini bukan hanya menggelar rakan mereka dengan panggilan sedemikian, bahkan ada juga yang menyamakan rakan mereka dengan haiwan tersebut!
Lihat ayat ini:
'....dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik)...'
   Sudah terang jelas dan nyata bahawa ALLAH begitu melaknat mereka yang melakukan perbuatan sedemikian, bahkan mereka yang melakukan sedemikian rupa boleh jatuh FASIK!
Lihat ayat ini:
'...Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim...'

 Disini ALLAH menjelaskan kepada kita agar segera bertaubat jika telah melakukan perbuatan tersebut. Penjagaan LISAN adalah penting agar perkara sebegini tidak berlaku, selain kekuatan diri dengan ilmu2 ISLAM yang diAMALKAN yang pasti membentengi kita daripada godaan SYAITAN dan NAFSU!

Biodata Penulis

Kanizam Kamis merupakan seorang yang Aktif dalam program tarbiah remaja Islam. Beliau berkongsi karya di laman facebooknya http://www.facebook.com/Nizam.perppisld.

Tuesday, January 3, 2012

MARI POTONG KUKU IKUT SUNNAH NABI

CARA2 POTONG KUKU TANGAN DAN KUKU KAKI IKUT CARA NABI MUHAMMAD S.A.W.


tahun baru 2012 = KIAMAT???



BOLEH dikatakan semua agama di dunia mempercayai akan hari khiamat. Agama Kristian, Yahudi atau lain-lain agama di dunia ini juga dikatakan kononnya lebih ‘tahu’ akan tarikh berlakunya kiamat.
“Kepercayaan mengenai hari kiamat terutamanya menurut agama Kristian dan Yahudi memang ada asasnya kerana nabi-nabi mereka diterima dan diiktiraf dalam Islam.
“Tetapi pada asasnya kepercayaan hari kiamat mereka adalah sebagaimana kepercayaan dalam Islam itu sendiri.
“Iaitu tidak ada tarikh tertentu diberikan sebagaimana yang ditetapkan dalam Islam.
“Malah mereka percaya akan turunnya Al Masih, Nabi Isa, kerosakan yang dilakukan oleh Dajjal, kaum Yakjud dan Makjud dan sebagainya.
“Tetapi jika mereka mempergunakan agama bagi menyatakan tarikh sebenar kiamat, itu sebenarnya berlaku kesesatan dalam agama mereka sendiri.
“Begitu juga kepada umat Islam yang meramalkan tarikh kiamat atas nama Islam, maka itu dikira sesat dalam agama kita,” kata Dr. Danial.
Tambah beliau, atas nama agama, manusia akan mencipta segala macam ramalan yang bukan-bukan yang tidak masuk akal.
Semua itu sebenarnya jika tidak berhati-hati merupakan permainan syaitan dan iblis.

Golongan yang membuat ramalan akan hari khiamat itu sebenarnya ada kepentingan tertentu yang bukan sahaja membawa faedah kepada diri mereka tetapi memberikan kemenangan kepada kuasa-kuasa jahat iblis dan syaitan yang suka menyesatkan manusia.
Sehingga berlaku penyembahan, sanggup melakukan korban supaya terselamat jika berlaku kiamat dan sanggup membunuh diri bagi mengelakkan azab ditimpa kiamat.
Semua itu, kata Dr. Danial adalah kesesatan kesan mempercayai kepada segala macam ramalan tersebut.
Mungkin tarikh kiamat yang kononnya berlaku hujung tahun hadapan sedikit sebanyak akan memberi iktibar dan satu peringatan keras yang membuatkan manusia supaya bersedia menghadapinya.
Ini termasuklah melakukan amal kebaikan, bertaubat, tidak melakukan maksiat, kuat beribadat dan sebagainya lagi.
Namun seperti yang ditegaskan oleh Dr. Danial, bagaimana jika selepas Disember 2012 itu, tidak berlaku kiamat? Bagaimana keadaan manusia yang telah melakukan pelbagai persediaan untuk menghadapi kiamat itu?
“Manusia pastinya akan gembira, mencampakkan segala amalan kebaikan untuk kembali berfoya-foya, tidak ingat Tuhan kerana kiamat tidak jadi.
“Seperti ada sambutan meriah apabila kiamat tidak berlaku,” tegas beliau.
Sedangkan kata Dr. Danial, agama Islam telah lengkap dalam memperkatakan hari kiamat.
Hikmah tarikh kiamat dirahsiakan supaya manusia sentiasa bersedia secara jujur, ikhlas kerana percaya hidup di dunia hanya sementara kerana yang kekal adalah di akhirat.
“Justeru kehadiran 2012 esok lusa ini hendaklah ‘disambut’ dengan penuh keinsafan terutamanya semakin dekatnya kita kepada tanah perkuburan, persemadian abadi yang memutuskan segala amalan kita di dunia kecuali bekalan yang kita bawa akhirat kelak.
“Sama ada tahun hijri mahupun masihi hendaklah disambut dengan ibadah bukannya dengan keseronokan dan hiburan yang melampau kerana umur semakin meningkat dan kematian akan menjemput kita tanpa mengira masa dan keadaan.
“Bertambahnya tahun untuk kita hidup, bermakna Allah memberikan ‘bonus’, kelebihan masa dan waktu untuk kita menambahkan amalan kebaikan dan kebajikan. Malangnya sekalipun ada peringatan kononnya Kiamat tetapi saya yakin yang bakal di sambut sempena tahun baru 2012 adalah tetap mengikut nafsu,” katanya.
Manusia harus menyedari kini bahawa masa kian dan semakin pantas berlalu.
Setahun 2011 yang berlalu begitu cepat sehinggakan manusia tidak sempat menyempurnakan pelbagai azam dan cita-cita.
“Jadi adakah masanya lagi untuk membuang-buang masa untuk perkara yang tidak berfaedah?
“Sekalipun kita merasakan kita begitu sibuk sehingga menyebabkan masa dirasakan begitu pantas berlalu, namun kebanyakan kita sibuk dengan aktiviti yang tujuannya adalah salah kerana kita mempunyai misi hidup yang salah,” katanya.
Sedangkan manusia hendaklah istiqamah dalam perkara kebaikan dan konsisten dalam ibadah dengan misi hidup adalah mencari kemuliaan dan ketaqwaan di sisi Allah.
Bukan meletakkan sasaran kemuliaan di sisi manusia dengan mengejar pangkat, harta dan sebagainya.
Benarlah manusia itu kerugian dari aspek masa.
Sehinggalah Allah bersumpah sebagaimana dalam surah al-Asr: 1-3: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.